Sabtu, 20 Ogos 2011

Rantaian Ganas Dalam Penyalahgunaan Sistem Pengurusan


Perdana Menteri Jepun berkali – kali dan sering bertukar orangnya kerana mereka akur kepada satu standard untuk menuruni takhta jika melakukan kesalahan. Malah para menterinya pun sanggup’membekukan’ gaji hanya kerana menunggu sesuatu kes atau masalah di atasi. 

Mereka memberikan contoh yang baik kepada orang muda bahawa hak datang dengan tanggungjawab. Hak tidak boleh ditunaikan dengan sewenang – wenangnya tanpa melunaskan tanggungjawab dengan berkesan. Tanggungjawab itu seringkali dilupakan, kerana semua orang asyik menuntut pecahan bahagian dari keseluruhan yang menurut mereka menjadi hak mereka.

Setiiap satu sen yang dibelanjakan, dengan menggunakan dana awam atau organisasi, akan dipertanggungjawabkan. Lihat sejauh mana outcome  yang akan terhasil, berbanding apa dia output yang hendak dijana.

Di bumi ini, orang dewasa mengajar kita pelbagai perkara. Ada yang baik, namun lebih banyak yang perlukan pemikiran semula sebelum dianuti. Mengskrin apa yang baik untuk diteruskan oleh orang muda merupakan satu cabaran yang amat besar. 

Kita terikat dengan proses penurunan pemahaman. Dari rantaian yang asal, kita tidak dibenarkan untuk memutuskan dengan erti kata membuat banyak perubahan terhadap cara, sistem dan proses untuk sesuatu perkara,

Kegagalalan syarikat – syarikat besar banyak diletakkan kepada sistem pengurusannya. Pengurusan tertinggi menanggung benan yang bukan sedikit banyakknya, walaupun seringkali dilihat bergemerlapan dengan pakaian dan senyum yang tak lekang di bibir.

Pasukan bola sepak yang gagal menyerlah akan menyebabkan lembaga pengurusannya dihadapkan ke lembaga pengarah. Mereka sebelum itu akan diadili secara terbuka oleh orang awam atau peminat yang ‘lebih pakar’ dari segala pakar.

Untuk memutuskan rantaian yang mengikat sistem, cara dan proses pengurusan bukanlah mudah. Kerana ia telah dimaktubkan, walaupun bukan secara dalam kitab, maka jalan itu sajalah yang perlu kita ambil. Tidak ada pilihan lain. Ataupun keluar dari sistem, bentuk sistem sendiri dan akhirn ya kita akan dilabel sebagai pemberontak.

Lantas, akan tali – bertemalilah penyalahgunaan sistem, cara dan proses pengurusan dengan hasrat untuk mendapat hasil yang terbaik sedangkan kaedah menggali lubang dan tempatnya masih lagi cara yang sama. Semakin ramailah yang akan jatuh terjerumus ke dalam lembahnya nanti.

Apa yang dikatakan sebagai anak muda yang penuh inspirasi, berjiwa besar, kreatif dan penuh dengan nilai – nilai besar hanyalah ilusi. Lebih baik dengar lagu Adira sahaja!

Inilah Malaysiaku.

Khamis, 18 Ogos 2011

Sukarnya Memajukan Cara Kita Berfikir …

(Artikel ini ditulis tanpa menggunakan  Bahasa Melayu Tinggi dan Berstuktur. Jika hendak diadaptasi, perlu di jadikan sebagai Bahasa Melayu Tinggi dan Berstuktur)

Lebih kurang 9 tahun lebih sahaja lagi kita terpaksa merealisasikan impian Tun Mahahir yang hendak melihat negara ini menjadi sebuah negara maju. Impian yang kini dikongsi oleh majotori rakyat Malaysia. Tak kisahlah sama ada dari Parti Kerajaan Pusat atau Parti Kerajaan di sesetengah negeri, impian ini telah mula di indoktrin sejak berpuluh tahun dulu.

Apa yang paling merisaukan saya adalah impian itu akan tinggal impian sahaja …

Kita ada masa kurang 9 tahun. Jika pilihanraya berlaku tahun ini atau separuh pertama tahun hadapan, kita ada 2 – 3 kali lagi pilihanraya sebelum fajar 2020 menyinsing. Silap – silap pada tahun 2020 kita berdepan dengan Pilihanraya Umum!

Kita mampu untuk menyediakan segalanya : infrastruktur, bagi duit pada yang memerlukan,  bagi netbook pada semua pelajar sekolah, sediakan pelbagai kemudahan fizikal untuk rakyat dan senarai itu (yang boleh nampak) akan terus berpanjangan.

Tapi saya rasa amat sedih dengan cara rakyat Malaysia berfikir. Cara kita melihat, menilai dan membuat rumusan terhadap sesuatu perkara.

Malah, orang yang terpelajar pun, yang bergraduat dari mana – mana kolej dan universiti pun, hari ini seolah – olah tertutup cara berfikir mereka.

Kerana apa? Sebab mentaliti kita, dari mak bapak, datuk nenek, hinggalah turun kepada kita, melihat belajar untuk mendapatkan kerja. Untuk kerja yang bagus – bagus. Untuk dapat duit banyak. Untuk hidup senang. Untuk kahwin dengan majlis yang super hebat dan beli kereta dengan bayaran bulanan RM 1999 selama 9 tahun!

Matlamat mula dah salah. Apa pulak akhirnya nanti?

Kita tak diberitahu dan diajar bahawa belajar adalah untuk merubah cara kita berfikir dan melihat dunia ini dengan lebih holistik lagi. Untuk kita memahami dan mengenal bahawa penicpta itu Allah sebagai The Great Super Power yang tak payah engkau nak berangan – angan untuk lawan! Untuk kita menjadi lebih faham bahawa hidup ini bukan sekadar diri engkau seorang sahaja. Bahawa hidup ini perlu untuk dikongsi antara engkau dan orang lain!

(Kan bingai namanya bila ada yang mula tanya holistik tu apa? Pergi Google sana!)

Kerja hebat, kahwin gadis / teruna cantik lulusan kolej ternama (walaupun engkau tak setinggi mana hebatnya), kereta besar dan bla – bla – bla … adalah bonus dalam usaha diri kita mencari ilmu. Apa guna kita bercakap soal agama setiap hari tetapi kita mempunyai niat dan falsafah yang salah tentang tujuan kita belajar.

Kerana falsafah yang salah inilah memberi kesan kepada cara bagaimana kita berfikir dan berusaha untuk memajukan negara ini. Tolonglah, aku hanya ada satu negara sahaja!

Saya teringat apa yang dikatakan oleh adik lelaki saya - Belajar sains untuk memahami sains secara prinsipnya, dan bukan sekadar hukumnya.

Yang ini memang best kalau nak dihuraikan. Berjam – jam duduk makmal dan berpuluh – puluh jam mengadap buku hanya kerana nak memahami sains menerusi apa itu Hukum Mandel, Hukum Archimedes, Teorem Phytaghoras, bla – bla – bla …. Tetapi tak menghayati sains secara tuntas sebagai sebuah disiplin ilmu. Akhinya kita juga menurunkan ilmu sains kepada generasi bawah kita secara hukumnya sahaja, bukan secara prinsipnya …

Yang lain – lain pun sama. Ilmu ekonomi, pengurusan, pentadbiran, sejarah dll …

Dan kitaran ganas ini terus berputar, membentuk dogma dan ideologi baru yang meresap dalam pemikiran rakyat Malaysia. Akhirnya … inilah hasilnya … kita tak mampu untuk berfikir lagi …

Apa yang kita mampu adalah menyalahkan orang lain dan menduduh sistem, Kerajaan, pemimpin, mak bapak, kawan yang rampas pakwe ko dan jiran sebelah rumah sebagai semuanya salah! Yang betul hanya ko seorang!

Oh Malaysia ku! Sampai bila?

Sabtu, 13 Ogos 2011

Dilema Dalam Idealisme Pembangunan

Oleh MIZAM RAHIM

Apabila kita bercakap mengenai isu pembangunan, ia boleh dikupas dari segenap aspek. Secara literal atau konotasi falsafah, takrifan pembangunan itu sahaja sudah boleh mencetuskan debat yang tidak berkesudahan.

Ada beberapa persoalan menarik. Pertama adalah apabila kita mendefinisikan terma pembangunan itu sendiri. Dalam konteks perubahan, pembangunan mestilah difahamkan sebagai peningkatan aras kemajuan dari titik yang dipandang sebagai `tidak maju' kepada titik yang dipandang sebagai `maju'. Untuk itu, kita perlu sepakat dalam memandang titik rujukan di mana kita berada.

Pembangunan adalah persoalan relatif. Kerana kerelatifan itulah ia menjadi benar pada mata pandang kelompok yang berada pada fahaman sepadan sahaja. Maknanya, orang lain mungkin akan memandang (dan berfikir) bahawa takrifan pembangunan (dan cara pembawaan pembangunan kita) adalah tidak tepat.

Ambil sebagai contoh bagaimana orang Amerika Syarikat melihat pembangunan. Mereka juga ada apa yang kita panggil sebagai pembangunan insan. Tetapi menurut takrifan mereka, pembangunan insan yang ditandai oleh aras kemajuan pembangunan cara berfikir telah menghalalkan sistem pemikiran terbuka tanpa batasan. Justeru, mereka menganut fahaman berfikirlah dan bertindaklah apa sahaja kerana itulah pembangunan pemikiran yang menandakan aras kemajuan pembangunan mereka. Maka natijahnya, lahirlah orientasi seks songsang dan regu kapitalisme yang menjerat masyarakat sekeliling.

Dan kita tentunya tidak sesekali pun bersetuju dengan takrifan dan cara pembangunan sedemikian. Sebab itulah kita cuba mengatur langkah dengan merencanakan takrifan dan acuan kita sendiri. Inilah apa yang dikatakan dari sudut mana dan fahaman mana kita melihat definisi pembangunan. Ia adalah benar untuk mereka yang sealiran pemikiran dengan kita sahaja.

Tentulah dalam hal ini, ideologi agama akan memainkan peranan penting. Hukum dan sempadan etika akan menjadi faktor penentu, mungkin juga sebagai faktor pembetulan terhadap rencana pembangunan yang kita jalankan.

`Titik-titik maju' dan `titik-titik tidak maju' juga sama seperti persoalan pembangunan. Kita tidak boleh menyatakan semua jenis perubahan adalah pembangunan. Jika koordinatnya adalah anjakan menurun, ia adalah kemerosotan. Kemerosotan juga adalah perubahan, sama seperti pembangunan. Cuma ia adalah salingan yang menepati hukum alam bahawa pasangan sentiasa wujud bagi semua item di dunia ini.

Kedua, adalah dilema sama ada pembangunan harus dilaksanakan dalam gerakan evolusi atau revolusi. Pilih salah satu sahaja (tidak mungkinkah kita boleh mencari titik tengah atau mencantumkannya?) Secara revolusi dengan tindakan `keras', drastik yang perlu segera seringkali bertentangan dengan cara evolusi yang disinonimkan penuh kesederhanaan, beransur-ansur dan memenuhi fitrah pembinaan jiwa semula jadi insan.

Adalah tepat untuk kita memilih tindakan revolusi sekiranya keadaan adalah menjerat, perlu kepada keputusan segera dan kita berhadapan dengan ancaman kata dua yang membenarkan kita memilih sama ada maut atau hidup sahaja. Dalam gerakan revolusi, persediaan mental dan ketahanan diri, dalam ruang jati diri yang kita fahami, perlu tegar dan ampuh sekali. Ia juga perlu mendapat sokongan yang menyeluruh, masing-masing begitu komited menjayakannya, tanpa berbelah bagi.

Namun dalam realitinya, adakah kita berada dalam kelompok masyarakat yang bersedia untuk menjalankan agenda pembangunan secara revolusi? Jika masyarakat kita bersedia sekalipun, adakah kita punya segala sumber yang mencukupi untuk melaksanakannya? Bersediakah kita memperuntukkan sejumlah wang yang besar, masa yang banyak dan tenaga mahir yang mencukupi untuk membina lebuh raya pembangunan yang dirancangkan.

Inilah kemustahilannya, walaupun ia tidak juga satu perkara ajaib untuk berlaku. Dengan itu, pilihan secara evolusi sering menjadi sandaran, walaupun ia mungkin memakan masa yang lama. Faktor masa adalah pemboleh ubah yang begitu penting. Dengan masa, kita akan menentukan bahawa masyarakat perlu disediakan menjadi teguh pemikiran, boleh dibentuk dan bersedia membangun. Ia akan bermula dengan membentuk individu-individu menjadi `boleh membangun'.

Dengan faktor masa juga, segala sumber untuk membangun akan dikumpulkan, dibina beransur-ansur dan sentiasa dinilai adakah ia selari dengan keperluan kehidupan atau tidak. Membangun secara evolusi sentiasa menjanjikan peluang untuk kita memuhasabah diri dan mencari titik-titik kelegaan dalam bertindak. Ia juga menyediakan asas-asas yang kukuh dari segi kemahiran, kesediaan masyarakat dan ketekalan budaya untuk mengharungi apa jua kemungkinan yang menimpa pada masa hadapan.

Ketiga, persoalan mana dulu yang hendak dibina, adakah struktur atau nilai? Dalam fasa ini, kita telah memasuki dimensi tatacara atau kerangka pembangunan yang manakah perlu untuk didahului. Adakah kita perlu membina struktur pembangunan terlebih dahulu, atau perlu bagi kita menyerapkan unsur-unsur nilai sebagai jiwa pembangunan.

Kita mungkin boleh bersetuju bahawa perubahan struktur biasanya akan menatijahkan pembangunan dalam bentuk revolusi. Contoh revolusi perindustrian yang telah menukar imej seorang petani kepada ahli industri. Dalam hal ini, struktur pembangunan ditentukan terlebih dahulu, berbanding dengan menyerapkan nilai-nilai pembangunan yang biasanya didasarkan kepada etika dan persoalan falsafah.

Menyediakan kerangka jelas, satu pelan pembangunan menyeluruh yang dapat dibayangkan di hadapan mata adalah penting. Ia memberikan panduan dan gambaran apa yang perlu dibuat, ditempuh dan kemungkinan-kemungkinan halangan yang berlaku. Penyediaan struktur juga akan dapat memberikan kita dahan berpaut yang teguh. Struktur ini direalisasikan menerusi kemantapan ekonomi dan kestabilan sosio-politik sesebuah negara-bangsa. Dengan strukturlah kita mampu bergerak dan membawa apa-apa jua nilai yang kita fikir sesuai untuk pembangunan masyarakat.

Sentiasa ingat bahawa nilai adalah sesuatu yang abstrak. Pembangunan nilai boleh menjadi matlamat akhir, tetapi kita memerlukan struktur sebagai alat untuk kita memercukan nilai. Nilai juga biasanya bersifat retorik, bagi seseorang yang terlalu idealistik, berbanding dengan kepentingan struktur yang ditekankan oleh seseorang yang bersifat pragmatis.

Dalam konteks pembangunan masyarakat, penyediaan struktur masyarakat yang boleh membangun dan bersedia untuk membangun adalah penting. Kita menyediakan struktur-struktur ini menerusi asas-asas pendidikan yang mantap dan kepimpinan yang jelas berwawasan. Jika struktur masyarakat sendiri tidak mampu menerima pola pembangunan yang dirancangkan, apalah yang boleh kita harapkan untuk sesebuah negara-bangsa itu membangun.

Ini sesekali tidak menafikan peranan nilai. Apa guna kita mencurahkan nilai kepada struktur yang bocor, tiada takungan kefahaman dan penghayatan yang boleh kita dapat akhirnya.

Seperkara lagi yang dibangkitkan adalah apabila seluruh masyarakat di dunia ini berkehendakkan perkara yang sama, tetapi mengapa natijah akhirnya adalah berbeza. Semua masyarakat Islam berkehendakkan perlaksanaan Islam yang terbaik, tetapi hasil akhirnya kita akan ketemu pelbagai kesudahan yang berbeza. Penafsiran seseorang atau kelompok masyarakat tertentu, tentang Islam contohnya, berbeza-beza. Hasilnya, kita akan mendapat `buah' dan `kuih' yang berbeza bentuk dan rasa.

Kerana kita hidup dalam kelompok masyarakat yang saling bina-membina, maka kita berhak untuk menyatakan apa yang terbaik daripada buah fikiran kita. Ini juga menjadi satu ciri terpenting dalam konteks masyarakat membangun iaitu jaminan kebebasan berfikir dan seterusnya melontarkan idea. Cuma perlu diingat, berfikir hendaklah dalam trek yang betul dan lontarkanlah idea secara sah. Ambillah sikap fikir dulu sebelum cakap dan buat.

Untuk semua idea tersebut, kita memerlukan penilaian yang objektif lagi terbaik. Keputusan untuk memilih idea-idea pembangunan manakah yang terbaik, perlu kepada sistem kepimpinan yang dipercayai sepenuhnya. Sebab itulah untuk membangunkan sesebuah negara, demokrasi terpimpin sering menjadi pilihan.

Menerusi demokrasi terpimpin, gugusan idea pembangunan akan cuba direalisasikan. Saat-saat kritikal pembangunan sesebuah ne-gara perlu kepada kepercayaan yang kukuh kepada pemimpin yang dipilih. Jangan sesekali ada prejudis, kelak ia akan menghitamkan semua yang putih di depan mata.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...