Sabtu, 13 Ogos 2011

Dilema Dalam Idealisme Pembangunan

Oleh MIZAM RAHIM

Apabila kita bercakap mengenai isu pembangunan, ia boleh dikupas dari segenap aspek. Secara literal atau konotasi falsafah, takrifan pembangunan itu sahaja sudah boleh mencetuskan debat yang tidak berkesudahan.

Ada beberapa persoalan menarik. Pertama adalah apabila kita mendefinisikan terma pembangunan itu sendiri. Dalam konteks perubahan, pembangunan mestilah difahamkan sebagai peningkatan aras kemajuan dari titik yang dipandang sebagai `tidak maju' kepada titik yang dipandang sebagai `maju'. Untuk itu, kita perlu sepakat dalam memandang titik rujukan di mana kita berada.

Pembangunan adalah persoalan relatif. Kerana kerelatifan itulah ia menjadi benar pada mata pandang kelompok yang berada pada fahaman sepadan sahaja. Maknanya, orang lain mungkin akan memandang (dan berfikir) bahawa takrifan pembangunan (dan cara pembawaan pembangunan kita) adalah tidak tepat.

Ambil sebagai contoh bagaimana orang Amerika Syarikat melihat pembangunan. Mereka juga ada apa yang kita panggil sebagai pembangunan insan. Tetapi menurut takrifan mereka, pembangunan insan yang ditandai oleh aras kemajuan pembangunan cara berfikir telah menghalalkan sistem pemikiran terbuka tanpa batasan. Justeru, mereka menganut fahaman berfikirlah dan bertindaklah apa sahaja kerana itulah pembangunan pemikiran yang menandakan aras kemajuan pembangunan mereka. Maka natijahnya, lahirlah orientasi seks songsang dan regu kapitalisme yang menjerat masyarakat sekeliling.

Dan kita tentunya tidak sesekali pun bersetuju dengan takrifan dan cara pembangunan sedemikian. Sebab itulah kita cuba mengatur langkah dengan merencanakan takrifan dan acuan kita sendiri. Inilah apa yang dikatakan dari sudut mana dan fahaman mana kita melihat definisi pembangunan. Ia adalah benar untuk mereka yang sealiran pemikiran dengan kita sahaja.

Tentulah dalam hal ini, ideologi agama akan memainkan peranan penting. Hukum dan sempadan etika akan menjadi faktor penentu, mungkin juga sebagai faktor pembetulan terhadap rencana pembangunan yang kita jalankan.

`Titik-titik maju' dan `titik-titik tidak maju' juga sama seperti persoalan pembangunan. Kita tidak boleh menyatakan semua jenis perubahan adalah pembangunan. Jika koordinatnya adalah anjakan menurun, ia adalah kemerosotan. Kemerosotan juga adalah perubahan, sama seperti pembangunan. Cuma ia adalah salingan yang menepati hukum alam bahawa pasangan sentiasa wujud bagi semua item di dunia ini.

Kedua, adalah dilema sama ada pembangunan harus dilaksanakan dalam gerakan evolusi atau revolusi. Pilih salah satu sahaja (tidak mungkinkah kita boleh mencari titik tengah atau mencantumkannya?) Secara revolusi dengan tindakan `keras', drastik yang perlu segera seringkali bertentangan dengan cara evolusi yang disinonimkan penuh kesederhanaan, beransur-ansur dan memenuhi fitrah pembinaan jiwa semula jadi insan.

Adalah tepat untuk kita memilih tindakan revolusi sekiranya keadaan adalah menjerat, perlu kepada keputusan segera dan kita berhadapan dengan ancaman kata dua yang membenarkan kita memilih sama ada maut atau hidup sahaja. Dalam gerakan revolusi, persediaan mental dan ketahanan diri, dalam ruang jati diri yang kita fahami, perlu tegar dan ampuh sekali. Ia juga perlu mendapat sokongan yang menyeluruh, masing-masing begitu komited menjayakannya, tanpa berbelah bagi.

Namun dalam realitinya, adakah kita berada dalam kelompok masyarakat yang bersedia untuk menjalankan agenda pembangunan secara revolusi? Jika masyarakat kita bersedia sekalipun, adakah kita punya segala sumber yang mencukupi untuk melaksanakannya? Bersediakah kita memperuntukkan sejumlah wang yang besar, masa yang banyak dan tenaga mahir yang mencukupi untuk membina lebuh raya pembangunan yang dirancangkan.

Inilah kemustahilannya, walaupun ia tidak juga satu perkara ajaib untuk berlaku. Dengan itu, pilihan secara evolusi sering menjadi sandaran, walaupun ia mungkin memakan masa yang lama. Faktor masa adalah pemboleh ubah yang begitu penting. Dengan masa, kita akan menentukan bahawa masyarakat perlu disediakan menjadi teguh pemikiran, boleh dibentuk dan bersedia membangun. Ia akan bermula dengan membentuk individu-individu menjadi `boleh membangun'.

Dengan faktor masa juga, segala sumber untuk membangun akan dikumpulkan, dibina beransur-ansur dan sentiasa dinilai adakah ia selari dengan keperluan kehidupan atau tidak. Membangun secara evolusi sentiasa menjanjikan peluang untuk kita memuhasabah diri dan mencari titik-titik kelegaan dalam bertindak. Ia juga menyediakan asas-asas yang kukuh dari segi kemahiran, kesediaan masyarakat dan ketekalan budaya untuk mengharungi apa jua kemungkinan yang menimpa pada masa hadapan.

Ketiga, persoalan mana dulu yang hendak dibina, adakah struktur atau nilai? Dalam fasa ini, kita telah memasuki dimensi tatacara atau kerangka pembangunan yang manakah perlu untuk didahului. Adakah kita perlu membina struktur pembangunan terlebih dahulu, atau perlu bagi kita menyerapkan unsur-unsur nilai sebagai jiwa pembangunan.

Kita mungkin boleh bersetuju bahawa perubahan struktur biasanya akan menatijahkan pembangunan dalam bentuk revolusi. Contoh revolusi perindustrian yang telah menukar imej seorang petani kepada ahli industri. Dalam hal ini, struktur pembangunan ditentukan terlebih dahulu, berbanding dengan menyerapkan nilai-nilai pembangunan yang biasanya didasarkan kepada etika dan persoalan falsafah.

Menyediakan kerangka jelas, satu pelan pembangunan menyeluruh yang dapat dibayangkan di hadapan mata adalah penting. Ia memberikan panduan dan gambaran apa yang perlu dibuat, ditempuh dan kemungkinan-kemungkinan halangan yang berlaku. Penyediaan struktur juga akan dapat memberikan kita dahan berpaut yang teguh. Struktur ini direalisasikan menerusi kemantapan ekonomi dan kestabilan sosio-politik sesebuah negara-bangsa. Dengan strukturlah kita mampu bergerak dan membawa apa-apa jua nilai yang kita fikir sesuai untuk pembangunan masyarakat.

Sentiasa ingat bahawa nilai adalah sesuatu yang abstrak. Pembangunan nilai boleh menjadi matlamat akhir, tetapi kita memerlukan struktur sebagai alat untuk kita memercukan nilai. Nilai juga biasanya bersifat retorik, bagi seseorang yang terlalu idealistik, berbanding dengan kepentingan struktur yang ditekankan oleh seseorang yang bersifat pragmatis.

Dalam konteks pembangunan masyarakat, penyediaan struktur masyarakat yang boleh membangun dan bersedia untuk membangun adalah penting. Kita menyediakan struktur-struktur ini menerusi asas-asas pendidikan yang mantap dan kepimpinan yang jelas berwawasan. Jika struktur masyarakat sendiri tidak mampu menerima pola pembangunan yang dirancangkan, apalah yang boleh kita harapkan untuk sesebuah negara-bangsa itu membangun.

Ini sesekali tidak menafikan peranan nilai. Apa guna kita mencurahkan nilai kepada struktur yang bocor, tiada takungan kefahaman dan penghayatan yang boleh kita dapat akhirnya.

Seperkara lagi yang dibangkitkan adalah apabila seluruh masyarakat di dunia ini berkehendakkan perkara yang sama, tetapi mengapa natijah akhirnya adalah berbeza. Semua masyarakat Islam berkehendakkan perlaksanaan Islam yang terbaik, tetapi hasil akhirnya kita akan ketemu pelbagai kesudahan yang berbeza. Penafsiran seseorang atau kelompok masyarakat tertentu, tentang Islam contohnya, berbeza-beza. Hasilnya, kita akan mendapat `buah' dan `kuih' yang berbeza bentuk dan rasa.

Kerana kita hidup dalam kelompok masyarakat yang saling bina-membina, maka kita berhak untuk menyatakan apa yang terbaik daripada buah fikiran kita. Ini juga menjadi satu ciri terpenting dalam konteks masyarakat membangun iaitu jaminan kebebasan berfikir dan seterusnya melontarkan idea. Cuma perlu diingat, berfikir hendaklah dalam trek yang betul dan lontarkanlah idea secara sah. Ambillah sikap fikir dulu sebelum cakap dan buat.

Untuk semua idea tersebut, kita memerlukan penilaian yang objektif lagi terbaik. Keputusan untuk memilih idea-idea pembangunan manakah yang terbaik, perlu kepada sistem kepimpinan yang dipercayai sepenuhnya. Sebab itulah untuk membangunkan sesebuah negara, demokrasi terpimpin sering menjadi pilihan.

Menerusi demokrasi terpimpin, gugusan idea pembangunan akan cuba direalisasikan. Saat-saat kritikal pembangunan sesebuah ne-gara perlu kepada kepercayaan yang kukuh kepada pemimpin yang dipilih. Jangan sesekali ada prejudis, kelak ia akan menghitamkan semua yang putih di depan mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...